KUALA LUMPUR 17 Mei – Dianggarkan 1,400 Orang Menghadiri Majlis Berbuka Puasa Di Masjid Negara Pada Setiap Hari Sepanjang Bulan Ramadan.
![]() |
|
MAMAT SAID
|
Timbalan Imam Besar Masjid Negara, Mamat Said berkata, masjid yang terletak di tengah-tengah ibu kota itu merupakan antara lokasi tumpuan pelbagai lapisan warga kota untuk datang berbuka puasa.
Beliau berkata, selain peluang menikmati pelbagai jenis makanan dan juadah, Masjid Negara juga menjadi pilihan umat Islam yang ingin mengikuti program tadarus Al-quran, ceramah agama dan solat sunat terawih,
“Pelbagai lapisan masyarakat hadir memeriahkan majlis berbuka puasa di sini. Mereka termasuk warga kota yang tidak sempat pulang berbuka di rumah, pelancong luar negara, musafir, gelandangan, anak yatim dan golongan asnaf.
“Pada 10 hari terakhir Ramadan, kami menganjurkan program qiamullail. Mereka yang beribadat di sini sehingga awal pagi juga disediakan juadah sahur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mamat berkata, bagi menampung jumlah jemaah yang besar setiap kali waktu berbuka, urusan penyediaan makanan diserahkan kepada pihak katerer yang memastikan hidangan berbuka dapat disediakan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum para jemaah menunaikan solat Isya dan terawih.
Sementara itu Mamat berkata, persiapan menyambut ketibaan Ramadan diadakan lebih awal oleh pihak pengurusan masjid seperti kerja-kerja pembersihan kawasan masjid, tempat sembahyang, sejadah, karpet, tempat wuduk dan tandas.
“Menjelang Ramadan pada setiap tahun, kami akan pastikan masjid berada dalam keadaan bersih supaya umat Islam dapat menunaikan ibadah dengan selesa,’’ katanya.









