SURABAYA 13 Mei – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan 40 cedera apabila tiga buah gereja dibom dalam beberapa insiden berasingan termasuk serangan pengebom bunuh diri, di sini hari ini.
Jurucakap polis, Frans Barung Mangera berkata, sehingga kini tiada mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.
“Setakat ini seramai 13 orang maut dan 40 yang cedera sudah dihantar ke hospital. Dua anggota polis turut cedera dalam kejadian tersebut,” katanya.
Jelas polis, ketiga-tiga gereja yang berada di lokasi berbeza itu diserang pada kira-kira pukul 7.30 pagi waktu tempatan dan dilihat sebagai serangan terancang yang mungkin melibatkan pengebom bunuh diri serta kenderaan yang dipasang bom.
Rakaman awal siaran televisyen menunjukkan seorang penunggang motosikal memasuki pekarangan satu daripada gereja terlibat sebelum bom diletupkan.
Beberapa imej lain menunjukkan beberapa kenderaan terbakar di satu daripada tiga lokasi serangan.
Insiden berkenaan menyaksikan sekumpulan pakar bom dikerah ke Gereja Pantekosta Pusat Surabaya untuk memeriksa dan mematikan bom yang masih aktif.
Dua wartawan agensi berita AFP turut memaklumkan mereka terdengar dua letupan kuat ketika kejadian.
Imej lain yang diperoleh menunjukkan satu mayat mangsa ditemukan di luar pintu Gereja Katolik Santa Maria dan skuad bom Indonesia memeriksa kawasan sekitar.
Selain itu, polis memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya seorang penyerang terbunuh apabila melancarkan serangan di Santa Maria.
Seorang saksi, Roman, 23, memberitahu bahawa orang ramai mula panik dan menjerit selepas bom meletup di gereja di Santa Maria.
Sehubungan itu, pasukan polis mengetatkan kawalan keselamatan di beberapa gereja di Bandung yang terletak di antara Jakarta dan Surabaya bagi mengelak kejadian sama berulang.
Kesemua serangan tersebut berlaku beberapa hari selepas lima anggota polis Indonesia dan seorang tahanan terbunuh dalam pertempuran di sebuah penjara di pinggir Jakarta, baru-baru ini.
Kumpulan Daesh mengaku bertanggungjawab atas insiden tersebut namun dinafikan oleh pihak berkuasa negara ini.
Sementara itu, jurucakap agensi perisikan Indonesia, Wawan Purwanto memaklumkan bahawa siri serangan bom yang berlaku di tiga gereja di sini disyaki dilancarkan oleh kumpulan militan Jemaah Ansharut Daulah (JAD).
Jelasnya, siri serangan tersebut berkemungkinan dilakukan susulan insiden pertempuran antara anggota polis dengan banduan Daesh di Jakarta pada minggu lalu. – AGENSI











