SEREMBAN – Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan akan diumumkan pada minggu depan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, sebanyak 10 portfolio dicadangkan dalam senarai Exco kerajaan negeri.
Jelas beliau, senarai itu akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk mendapat perkenan.
“Kita akan umum (Exco) pada minggu depan jika tiada perubahan dan mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
“Seramai 10 Exco kerajaan Negeri Sembilan bergantung kepada perkenan Tuanku. Portfolio ada perubahan sedikit berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.
Aminuddin berkata, pengagihan ahli exco kerajaan Negeri Sembilan mengikut komposisi parti dalam Pakatan Harapan yang dijangka dimuktamadkan esok atau lusa. – K! ONLINE










