Wartawan ditangkap siasat kekejaman tentera Myanmar - Utusan Malaysia

Wartawan ditangkap siasat kekejaman tentera Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK 9 Feb. – Dua wartawan agensi berita Reuters telah ditahan selama dua bulan oleh kerajaan Myanmar kerana melakukan penyiasatan berhubung kes pembunuhan beramai-ramai melibatkan 10 penduduk Rohingya, baru-baru ini.

Reuters yang pertama kali mendedahkan perkara itu kepada umum mengesahkan bahawa rakyat Myanmar, Wa Lone, 31; dan Kyaw Soe Oo, 27, sedang me­lakukan siasatan kes berkenaan ketika mereka ditahan pihak berkuasa pada 12 Disember lalu di pinggir Yangon.

Kedua-dua wartawan itu kini berdepan hukuman penjara selama 14 tahun jika didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Sulit negara tersebut.

Semalam, Reuters me­n­yi­ar­kan satu laporan mengenai bagaimana tentera Myanmar dan penduduk kampung beragama Buddha membunuh 10 etnik Rohingya di Kampung Inn Dinn di Rakhine pada 2 September tahun lalu sebelum mengebumikan kesemua mayat dalam satu kubur besar.

“Siasatan Reuters terhadap kes pembunuhan tersebut menyebabkan dua war­­tawannya ditahan pi­hak berkuasa Myan­mar,” jelas laporan tersebut.

Laporan itu dihasilkan berdasarkan pengakuan beberapa penduduk kampung beragama Buddha, pegawai-pegawai ke­selamatan dan ahli keluarga etnik Rohingya yang dibunuh.

Laporan itu juga mengandungi gambar mangsa sedang duduk dengan kedua-dua tangan mereka diikat ke belakang sebelum dibunuh dan juga gambar mereka selepas dibunuh dan dihumban ke dalam lubang besar.

Selain itu, laporan berkenaan turut menyebut beberapa saksi menolak dakwaan bahawa ke­semua mangsa adalah pejuang Rohingya.

Myanmar sehingga kini, tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung pendedahan yang dibuat oleh Reuters.

Kedua-dua wartawan tersebut tidak dibenarkan diikat jamin biarpun beberapa kumpulan hak asasi manusia dari seluruh dunia menggesa agar mereka dibebaskan.

Sementara itu, sesi perbi­caraan akan datang dijadualkan pada 14 Februari ini. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×