BATU PAHAT – Seorang tukang masak maut apabila penjenayah yang meragut beg tangannya menikam dadanya menggunakan senjata tajam di Jalan Sutera 7, Taman Sutera Yong Peng di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, ketika kejadian, wanita yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di sini itu dalam perjalanan pulang menunggang motosikal Yamaha Ego selepas bekerja syif malam.
“Setiba di tempat kejadian, mangsa didatangi lebih dua lelaki yang cuba meragut beg tangan miliknya. Mangsa dipercayai cuba melawan dan mempertahankan diri sebelum suspek bertindak agresif dengan menikam dada mangsa menggunakan senjata tajam.
“Tikaman pada dada mangsa mengenai jantungnya,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di sini semalam.










