[VIDEO] Selipar Adidas disyaki tiruan bernilai RM27,120 dirampas - Utusan Malaysia

[VIDEO] Selipar Adidas disyaki tiruan bernilai RM27,120 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 13 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu merampas 339 pasang selipar jenama Adidas disyaki tiruan bernilai RM27,120 di sebuah premis di Dataran Tembesu, Gong Badak, dekat sini semalam.


Video oleh AZLAN BAHRUM

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, barangan itu dipromosikan melalui laman sosial, Facebook sebagai produk tulen, dan dijual dengan harga yang tinggi.

Menurut beliau, serbuan dilakukan selepas risikan selama seminggu berasaskan aduan diterima daripada orang awam yang berasa tertipu selepas membeli selipar disyaki tiruan itu dengan harga RM80 sepasang.

“Peniaga terbabit yang menggunakan Facebook untuk mengiklankan produk tersebut mendakwa selipar yang dijual adalah tulen dan berkualiti.

“Siasatan awal mendapati perniagaan secara dalan talian itu sudah beroperasi selama empat tahun dengan menjadikan premis tersebut sebagai stor,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Saharuddin berkata, ketika serbuan, pemilik premis terbabit turut mengakui bahawa selipar tersebut bukan barangan tulen yang dibawa masuk ke negara ini dari China.

Namun, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada pengeluar produk tulen berkenaan iaitu Adidas untuk mendapatkan pengesahan mengenai barangan yang dirampas.

“Kita turut mendapati peniaga terbabit masih menggunakan mekanisme ‘PM tepi’ ketika mengiklankan produk selain gagal mempamerkan harga dan mendakwa selipar yang dijual merupakan barangan tulen,” ujarnya.

Saharuddin berkata, pihaknya akan merekodkan keterangan pemilik premis tersebut, iaitu pasangan adik-beradik berusia lingkungan 30-an untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 Akta Perlindungan Pengguna 1999. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×