PETALING JAYA 7 Feb. – Trend masa kini yang menyaksikan pengguna lebih gemar berswafoto mendorong Fujifilm menghasilkan kamera tanpa cermin terbaharunya, X-A5.
Video oleh AZRUL NAIMI ABDUL JALIL
Kamera yang tergolong dalam rangkaian kamera X-Series ini menyasarkan golongan muda yang gemar mengambil gambar menyeronokkan, versatil dan bermutu tinggi.
Menurut Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Yoshitaka Nakamura, kamera X-A5 menampilkan reka bentuk retro dengan ciri-ciri kontemporari.
“Produk terbaharu kami ini sesuai bagi mereka yang gemar mengembara dan suka bergambar di lokasi eksotik, untuk dikongsikan terus di laman sosial mereka,” kata Nakamura pada majlis pelancaran kamera tersebut, di sini hari ini.
Turut hadir, ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi yang dilantik sebagai duta swafoto X-A5.
“Kami yakin produk baharu ini akan turut memacu perkembangan terhadap permintaan kamera tanpa cermin yang semakin berkembang,” tambah Nakamura.
Berdasarkan rekod, ketika ini nisbah permintaan kamera tanpa cermin berbanding kamera DSLR adalah kira-kira 58:21, yang menunjukkan peningkatan ketara dalam permintaan terhadap kamera dalam segmen ini.
Keupayaan X-A5 mengambil gambar bermutu tinggi meletakkan kamera ini setanding dengan kamera DSLR namun saiznya yang lebih kecil dan ringan membuatkannya lebih sesuai untuk dibawa ke mana-mana.
Kamera dengan sensor pengesan 24.2MP ini hanya seberat 496g apabila digabungkan bersama kanta boleh zoom FUJINON XC15-55mm (F35-5.6 OIS PZ) menjadikannya kamera dengan kanta zoom yang paling ringan di dalam X-Series.
Perkongsian dan pemindahan gambar turut dimudahkan apabila kamera ini turut hadir dengan fungsi tanpa wayar dan bluetooth yang terbina dalam, yang dihubungkan menerusi aplikasi FUJIFILM Camera Remote pada telefon bimbit atau tablet.
Hadir dalam tiga warna – perak, coklat dan merah jambu, kamera X-A5 akan mula memasuki pasaran minggu hadapan dan dijual pada harga RM3,288. – UTUSAN ONLINE










