KUALA LUMPUR 6 Feb. – Pencapaian lelaki yang kurang cemerlang bermula daripada peringkat sekolah hinggalah universiti perlu diberi tumpuan di sebalik langkah kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita di peringkat pengurusan tertinggi.
Kebimbangan itu disuarakan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar yang pernah dilantik memegang jawatan penting sebagai Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group pada usia 37 tahun.
Beliau berkata, sesuatu perlu dilakukan untuk menangani masalah yang membelenggu belia lelaki dan faktor kejayaan yang membawa wanita lebih maju ke hadapan terutama dari segi akademik yang mana mereka menguasai dua pertiga daripada jumlah pelajar di universiti.
“Cuma yang saya bimbang adalah masa depan belia lelaki kerana mereka didapati tidak cemerlang daripada sekolah, baik di sekolah berasrama penuh mahupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hinggalah universiti. Sesuatu perlu dilakukan untuk melihat kenapa perkara ini boleh terjadi.
“Kami di PNB percaya kepada kepelbagaian dan semua peringkat perlu diberi peluang yang sama rata. Bahkan, dengan pencapaian wanita hari ini saya melihat mereka semakin mendaki puncak yang tinggi bukan sahaja dalam sektor korporat malah sektor awam,” katanya selepas Sidang Kemuncak Peralihan Kepimpinan di Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, golongan wanita bukan sahaja harus diberi peluang menganggotai peringkat lembaga pengarah tetapi juga mengisi pelbagai jawatan penting dalam sesebuah organisasi.
Katanya, kesemua syarikat strategik di bawah PNB secara umumnya mematuhi keperluan 30 peratus wanita di peringkat lembaga pengarah seperti termaktub di bawah Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) pada 26 April 2017.
Abdul Wahid juga memberikan contoh kejayaan Datuk Mohaiyani Shamsudin sebagai wanita pertama yang memegang jawatan Pengerusi Maybank manakala Nik Fazila Nik Mohamed Shihabuddin pula sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCMB).
Sementara itu, menurut kenyataan SC setakat 31 Disember 2017, 19.2 peratus keanggotaan lembaga pengarah 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia terdiri daripada kaum wanita, meningkat daripada 16.6 peratus pada 31 Disember 2016.
Ketika pelancaran MCCG pada April tahun lalu, SC juga menetapkan sasaran tiada lembaga pengarah yang dianggotai semuanya oleh kaum lelaki dalam 100 syarikat teratas menjelang penghujung 2018.
Setakat 17 Januari 2018, hanya tujuh syarikat yang semua lembaga pengarahnya terdiri daripada kaum lelaki iaitu penambahbaikan sebanyak 65 peratus daripada 20 syarikat setakat 31 Disember 2016.
Dalam pada itu, menurut Abdul Wahid, pemimpin dalam sektor korporat termasuk ketua pegawai eksekutif tidak harus memegang jawatan yang sama lebih dari 10 tahun kerana ia boleh menimbulkan risiko penolakan atau prestasi yang tidak berubah.
“Walaupun ketua pegawai eksekutif yang lama berkhidmat boleh memberi kestabilan kepada syarikat, tetapi keadaan itu secara tidak langsung boleh mengundang risiko.
“Adalah penting bagi sesebuah organisasi untuk melakukan perubahan dari semasa ke semasa dan pada masa sama memberi peluang kepada golongan muda untuk berada di peringkat pengurusan tertinggi termasuk sebagai ketua pegawai eksekutif pada masa hadapan,” katanya.
Mengenai prestasi Bursa Malaysia yang mencatat penurunan dalam tempoh dua hari berturut-turut, beliau berkata, penjualan besar-besaran di Bursa Malaysia dicetuskan oleh faktor global pada ketika asas domestik Malaysia kekal kukuh.
“Kejatuhan Dow Jones baru-baru ini juga tidak boleh dilihat sebagai faktor tunggal yang mempengaruhi prestasi bursa tempatan. Selagi syarikat korporat Malaysia terus mencatat pertumbuhan dan pendapatan mereka meningkat, maka harga saham berupaya pulih semula,” katanya.
Beliau menjangkakan pendapatan korporat Malaysia akan berkembang lebih tujuh peratus tahun ini sejajar dengan anggaran konsensus dan berharap syarikat pelaburan strategik di bawahnya mampu mencatat prestasi yang lebih baik.










