Selangor rasai perit kekalahan pertama musim 2018 - Utusan Malaysia

Selangor rasai perit kekalahan pertama musim 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STATUS pendahulu Liga Super tidak kekal menjadi milik Selangor selepas diaibkan dengan kekalahan 1-4 kepada Terengganu FC I (TFC I) pada aksi ketiga liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) merampas kedudukan skuad Gergasi Merah selaku pendahulu liga apabila pasukan bimbingan Datuk K. Rajagobal menewaskan Perak 2-0.

Lee Tuck muncul sebagai wira skuad Penyu apabila meledak dua gol (m-32 dan m-68) diikuti gol milik Mohd. Shahrul Aizad Zukufli (m-59) dan Tchetche Kipre (m-65), manakala satu gol sagu hati Gergasi Merah dihasilkan oleh Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-88.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang memanfaatkan kelebihan di laman sendiri apabila menewaskan Kelantan 3-0 dalam aksi setempat Pantai Timur.

Sementara itu, aksi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bertemu Kuala Lumpur terpaksa ditunda ekoran hujan lebat yang menyebabkan keadaan padang ditakungi air di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Pegawai pertandingan, Zahrul Nizam Mohd. Salleh mengesahkan aksi itu ditangguh ketika Kuala Lumpur mendahului 1-0 menerusi jaringan Paulo Josue pada masa kecederaan separuh masa pertama. Perlawanan akan bersambung bermula minit ke-56 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada pukul 4 petang hari ini.

“Perlawanan ditangguhkan kerana keadaan padang yang tidak mengizinkan dan ditakungi air yang dikhuatiri jika diteruskan boleh mengakibatkan kecederaan kepada pemain.

“Perlawanan bersambung esok (hari ini) pada pukul 4 petang kerana kita masih belum tahu cuaca esok (hari ini). Jika masih hujan lebat, masih ada tempoh panjang untuk melanjutkan perlawanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×