Sajian tradisi Melayu Kafe Tok Mak - Utusan Malaysia

Sajian tradisi Melayu Kafe Tok Mak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI penggemar sajian masakan tradisional Melayu, dengar sahaja lauk gulai kawah, ketam masak lemak, siput sedut pucuk paku, ikan bakar, udang sambal dan telur itik masak lemak sudah tentu membuatkan perut berkeroncong.

Lebih-lebih lagi kuah tempoyak yang menggunakan ikan air tawar Sungai Pahang yang segar seperti ikan patin menambahkan lagi keenakannya pasti menjadikan hidangan itu sangat istimewa.

Menyedari hakikat tersebut, Datuk Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin nekad membuka Kafe Tok Mak di Taman Melawati, Ampang, Selangor yang menyediakan lebih 50 menu pilihan lauk dan masakan negeri Pahang untuk memenuhi selera pelanggannya.

Katanya, walaupun baru setahun dibuka, restorannya itu telah mempunyai ramai pelanggan tetap dan menjadi buah mulut penggemar makanan tradisional.

“Idea untuk membuka kafe ini tercetus daripada keenakan resipi masakan ibu saya, Salmah Mat Hussin, 57. Apabila kita menetap di kota, keinginan untuk merasai masakan kampung air tangan daripada ibu pasti menjadi igauan.

“Justeru, saya memberi peluang kepada mereka yang merindukan masakan tradisional untuk merasai sendiri keunikan yang ada di kafe ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Wan Noor Akyilah berkata, kafe Tok Mak menawarkan keunikan bersesuaian dengan namanya yang menggambarkan nilai tradisi Melayu.

“Masakan di kafe ini mendapat sentuhan ibu saya sebagai tukang masak.

Enak

“Antara menu yang istimewa ialah gulai kawah kerana bahan yang digunakan merupakan campuran rempah-ratus resipi ibu yang tidak boleh didapati di mana-mana kafe di ibu kota ini,” ujarnya.

Bagi memeriahkan temu janji pada hari tersebut, Wan Noor Akyilah telah mengaturkan pertemuan dengan rombongan Kelab Kereta BMW 5 Series (E60) bagi merasai sendiri keenakan hidangan Kafe Tok Mak.

Salah seorang pelanggan, Mohd. Faizal Japar, 37, berkata, hidangan di kafe berkenaan bersesuaian dengan seleranya sebagai penggemar masakan Melayu.

“Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki di sini. Gulai siput sedut menjadi kegemaran saya dan harganya juga berpatutan.

“Menariknya, kami juga dihidangkan dengan jus buah-buahan dalam bekas yang tinggi menambahkan lagi kepuasan apabila menjamu selera,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Shafiei Md. Daud, 48, berkata, kemudahan tempat letak kereta dan kedudukannya yang strategik memudahkan pengunjung untuk datang ke kafe tersebut.

“Lokasinya berdekatan dengan pusat beli-belah Melawati yang menjadi tumpuan orang ramai. Pengunjung tidak perlu bersusah payah mencari tempat untuk menjamu selera kerana ia mudah ditemui,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×