KUALA LUMPUR 7 Feb. – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat bercemar duli memberikan penghormatan terakhir ke atas bonda tersayang kepada Tan Sri Dr. Ng Yen Yen iaitu mendiang See Swee Kim di Xiao En Centre, Cheras malam ini.
Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Yen Yen dan suami, Datuk Dr. Chin Chee Sue.
Turut mengiringi baginda ialah Tengku Puteri Mahkota Perlis, Datuk Seri Sharifah Fazira Jamalullail dan anakanda sulung Tuanku Raja Muda Perlis, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Turut sama menyambut baginda ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong.
Yen Yen merupakan rakan sekelas kepada Tuanku Raja Perempuan Perlis sejak dibangku persekolahan lagi iaitu ketika sama-sama menuntut di Sekolah Inggeris Zainab di Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN ONLINE










