KUALA LUMPUR 6 Feb. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat bercemar duli memberikan penghormatan terakhir ke atas ibu kepada Tan Sri Datuk Seri Dr Ng Yen Yen iaitu mendiang See Swee Kim tengahari tadi.
Mendiang See Swee Kim 99 tahun yang bakal menyambut hari ulang tahunnya yang ke-100 pada 14 Mei ini, menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 8.50 pagi semalam di rumah beliau di ibu negara.
Keberangkatan baginda berdua ke XE Grand Hall 1, Xiao En Centre di No 1 Jalan Kuari, Cheras disambut oleh Tan Sri Dr. Ng Yen Yen sendiri dan suami Datuk Dr. Chin Chee Sue.
Turut sama menyambut baginda berdua ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Datuk Rajasekaran Murugiah.
Yen Yen ialah bekas Naib Presiden MCA, iaitu wanita pertama yang memegang jawatan itu dan tersenarai dalam barisan Kabinet mencatatkan sejarah sebagai wanita Cina pertama yang memegang jawatan sebagai menteri Kabinet. Beliau juga ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTF. – UTUSAN ONLINE










