Program Jualan Sentuhan Rakyat bantu murangkan kos sara hidup - Irmohizam - Utusan Malaysia

Program Jualan Sentuhan Rakyat bantu murangkan kos sara hidup – Irmohizam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR 11 Feb – Program Jualan Sentuhan Rakyat yang julung kali diadakan di Parlimen Kuala Selangor hari ini diharap dapat mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung oleh rakyat.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, program tersebut yang melibatkan kerjasama daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), para usahawan tempatan serta UMNO bahagian itu dilihat dapat membantu rakyat mendapatkan barangan dapur pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

“Melalui program jualan ini, orang ramai boleh membeli pelbagai barang keperluan harian antara seperti ikan, ayam, cili, beras, susu tin, telur dan beras pada harga lebih murah daripada harga pasaran. Sebagai contoh, ikan dijual 30 peratus lebih rendah dari harga pasaran dalam Program Jualan Sentuhan Rakyat.

“Inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat menangani kos sara hidup,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Kuala Selangor di perkarangan Dewan Rafulin, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Badong, Ijok, di sini.

Yang hadir sama dalam program itu ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Dr. Zaharah A. Kadir dan Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, K.R. Parthiban.

Pada masa sama, Irmohizam yang juga Pengerusi LKIM itu memberitahu, pihaknya akan mengadakan program sama akan diteruskan di kawasan Bukit Malawati dan Puncak Alam serta beberapa lokasi strategik yang lain di daerah ini.

Malah, beliau turut mengajak lebih ramai pagi peniaga sama ada pasar raya, pasar raya mini, kedai runcit dan pasar basah yang lain supaya bersama-sama meringankan beban rakyat dengan menurunkan sedikit harga jualan mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×