SEBERANG PERAI – Polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) merampas sejumlah mercun pelbagai jenis bernilai kira-kira RM5,500 dalam operasi di Jalan Raja Uda, Butterworth di sini semalam.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya turut menahan tiga individu dalam dua tangkapan ketika operasi tersebut dijalankan.
Menurutnya, suspek pertama iaitu lelaki berusia 20 tahun ditahan bersama sebuah kotak mengandungi mercun dan bunga api di bahu jalan itu kira-kira pukul 8.30 malam.
Noorzainy berkata lagi, dalam tangkapan kedua kira-kira pukul 11.30 malam berdekatan sebuah tokong pula pihaknya menahan lelaki berusia 39 dan 46 tahun ketika mereka sedang berniaga mercun di dua meja berasingan.
Ketiga-tiga suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. – K! ONLINE










