Perlu RM40,000 untuk bawa pulang jenazah - Utusan Malaysia

Perlu RM40,000 untuk bawa pulang jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT – Pelancong Malaysia yang menerima rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU) Hospital Vachiraphuket, Phuket, Thailand, disahkan meninggal dunia pukul 10.55 malam tadi akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. 

Bagaimanapun, urusan membawa pulang jenazah Mohd. Nazmi Ahmad Zubaidi, 30, tergendala selepas keluarganya tidak mampu menjelaskan tunggakan bil sebanyak RM40,000 kepada pihak hospital.

Adiknya, Mohd. Nazrin, 29, berkata, Mohd. Nazmi dimasukkan ke Hospital Vachiraphuket pada pada 26 Januari lalu selepas terkena jangkitan kuman Burkholderia Pseudomallei.

“Menurut pihak hospital, jangkitan itu dipercayai berpunca daripada air dan tanah. Arwah mula mengalami simptom sakit dada, radang paru-paru, batuk dan kesakitan tulang selepas dua hari berada di Phuket.

“Ketika masih dalam rawatan, kami memerlukan RM70,000 untuk menanggung kos perubatan dan kini diperlukan RM40,000 pula bagi menjelaskan tunggakan bil sebelum jenazah boleh dibawa pulang,” katanya.

Mohd. Nazmi yang merupakan anak sulung daripada lapan beradik dan bekerja di sebuah syarikat swasta tiba di Phuket bersama tiga rakannya pada 24 Januari lalu untuk bercuti.

Mohd. Nazrin menambah, jenazah akan dikebumikan di Kampung Seri Muda di sini sejurus urusan menjelaskan tunggakan bil rawatan diselesaikan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×