Penjawat awam bebas, runner sambung reman lima hari - Utusan Malaysia

Penjawat awam bebas, runner sambung reman lima hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan lanjutan reman selama lima hari bermula esok terhadap seorang suspek bagi membantu siasatan kes meminta suapan sebanyak RM35,000.

Suspek yang berusia 46 tahun tersebut dikatakan bertindak sebagai perantara atau runner dalam kes rasuah terbabit.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Majistret Cindy Mc Juce Balitus selepas menerima permohonan daripada Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Faliq Basiruddin.

Suspek yang hadir berpakaian lokap SPRM tiba di pekarangan mahkamah dekat sini pada pukul 9.22 pagi dan beredar kira-kira 20 minit kemudian.

Sementara itu, pada prosiding sama, Mahkamah Majistret membebaskan Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Tanah dan Ukur Beaufort berusia 54 tahun.

Lelaki yang direman sejak 9 Februari lalu itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin tempatan termasuk perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Sabah sebulan sekali.

Terdahulu, kedua-dua suspek berkenaan ditangkap SPRM pada 8 Februari lalu di lokasi berbeza antara pukul 8.15 hingga 10.30 malam kerana dipercayai meminta rasuah sebanyak RM35,000 daripada seorang lelaki.

Suapan itu sebagai balasan untuk mengeluarkan geran tanah milik arwah ayah mangsa yang ditahan di Pejabat Tanah dan Ukur di Beaufort.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×