Pelajar dinasihati jangan ghairah muat naik video di laman sosial - Utusan Malaysia

Pelajar dinasihati jangan ghairah muat naik video di laman sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS – Pelajar dinasihatkan agar tidak terlalu ghairah memuat naik video yang tidak sepatutnya dan menjadi tular di laman sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Suffian Sulaiman berkata, video yang  dirakam pelajar mungkin pada awalnya sekadar untuk ‘suka-suka’ tetapi akan timbul implikasi lain di kemudian hari.

“Kes jenayah yang berlaku di kalangan pelajar bukanlah berada di tahap serius tetapi budaya tular yang  menyebabkan kes tersebut semakin serius. Sebenarnya kes tersebut hanyalah kes kecil dan apabila ditular  akan mewujudkan rasa takut kepada jenayah di kalangan masyarakat.

“Contohnya kes buli, mereka macam dah rancang nak rakam dan sebagainya dan kita pun tak  pasti rakaman tersebut dibuat untuk mengugut atau sebaliknya,” katanya semasa ditemui Bernama pada majlis perasmian Perkhemahan Kor Kadet Polis MRSM  Zon Timur 2018 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini hari ini.

Menurut Suffian, pelajar-pelajar yang merakam video ini sebenarnya tidak mengetahui perbuatan  tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) .

Apabila pendedahan diberikan kepada pelajar-pelajar ini barulah mereka sedar akan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, pelajar perlu berhati-hati menyebarkan sebarang berita berbentuk video mahupun sebarang  penulisan yang boleh menyumbang kepada keadaan yang mengganggu keharmonian masyarakat kerana mereka boleh dihadapkan ke mahkamah. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×