LONDON – Pengarah Eksekutif McLaren, Zak Brown mengalu-alukan kehadiran semula Lewis Hamilton untuk kembali bersama pasukan itu meskipun Mercedes menyatakan pelumba Britain itu tidak akan meninggalkan pasukannya musim ini.
Kontrak Hamilton, 33, berbaki satu musim lagi bersama Mercedes tetapi dia dijangka menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal bersama pasukan itu untuk tempoh dua tahun akan datang.
“Saya fikir tak ada satu pun pasukan yang tidak berminat untuk mendapatkan kepakaran Hamilton, malah ia turut menarik minat pasukan kami untuk membawanya kembali bersama McLaren.
“Bagaimanapun, ia bukan satu tugas yang mudah kerana Mercedes sudah tentu akan memastikan Hamilton kekal bersama pasukan itu satu tempoh yang lama. Saya akui jika mana-mana pasukan mendapat khidmatnya, mereka sangat beruntung.
“Memang tidak boleh dipertikaikan bahawa Hamilton memiliki sejarah hebat dalam perlumbaan F1. Bukan itu sahaja, dia juga turut mempunyai hubungan yang utuh bersama pemegang saham dalam saingan F1,” katanya.
Untuk rekod, Hamilton melakar prestasi cemerlang bersama pasukan McLaren apabila memenangi gelaran dunia pertamanya bersama pada tahun 2008 sebelum berhijrah menyertai Mercedes pada 2013.
Hamilton tidak mengambil masa yang lama apabila terus menambah koleksi kejuaraan dengan meraih tiga gelaran dunia bersama Mercedes pada tahun 2014, 2015 dan 2017. – Agensi










