SERIAN – Mangsa keenam wabak rabies, Alfonda Michael yang masih lagi hidup kini mengalami kecacatan otak akibat dijangkiti wabak penyakit anjing gila itu pada Ogos tahun lalu.
Ibunya, Jacqlin Jather, 33, berkata, anak bongsu daripada dua beradik yang berusia lapan tahun itu kini terpaksa bergantung hidup sepenuhnya dengan bantuan mesin sokongan hayat selepas dia dibenarkan pulang ke rumah di Kampung Bayur di sini pada 31 Januari lalu.
Katanya, selepas lebih lima bulan menjalani rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), anaknya itu belum menunjukkan perkembangan positif sebelum mereka memutuskan untuk membawa pulang anaknya supaya dapat dijaga keluarganya di rumah.
“Keadaannya ketika ini masih belum ada perkembangan positif tetapi dia boleh buka mata jika kami memanggilnya. Bagaimanapun, dia tidak mampu bercakap mahupun bergerak.
“Anak saya perlu menjalani rawatan susulan setiap dua minggu di HUS bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan kesihatannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.










