ALOR SETAR 7 Feb. – Malaysia melengkapkan kemenangan 5-0 ke atas Filipina dalam saingan peringkat Kumpulan Y Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini sebentar tadi.
Selepas Soniia Cheah dan Goh Jin Wei masing-masing menyumbang mata dalam dua permainan pertama, perseorangan ketiga, Lim Yin Fun turut meraih mata penting dengan mengetepikan cabaran Thea Marie Pomar 21-5, 21-8.
Pasangan beregu Vivian Hoo-Tee Jing Yi kemudian menyumbang mata keempat negara selepas menewaskan Aira Mae Nicole Albo-Alyssa Yasbel Leonardo 21-12, 21-8 sebelum Chow Mei Kuan-Goh Yea Ching melengkapkan kemenangan 5-0 negara dengan menundukkan Sarah Joy Baredo-Marie Pomar 21-13, 21-14.
Jing Yi berkata, dia merasakan kelainan ketika bergandingan bersama Vivian kerana kedua-dua mereka adalah pemain menyerang berbeza dengan pasangan asalnya, Soong Fie Cho.
“Saya harap gandingan kami akan menjadi lebih baik untuk perlawanan menentang Thailand esok kerana ia merupakan perlawanan yang sangat penting,” katanya.
Mengulas mengenai aksi menentang Thailand, Vivian berkata, keseluruhan pasukan sudah bersedia untuk beraksi dan akan menampilkan aksi terbaik untuk pertemuan esok.
Ketiadaan Woon Khe Wei yang mengalami kecederaan lutut kanan sewaktu aksi menentang Vietnam juga memberi kesan kepada pasukan namun Vivian menegaskan bahawa mereka semua perlu kembali fokus kepada matlamat asal mereka iaitu mencari kemenangan.
“Berdepan Thailand memang sukar, kalau saya bergandingan bersama Khe Wei sekali pun, tidak bermakna permainan akan menjadi lebih mudah.
“Saya harap gandingan saya bersama Jing Yi akan memberi kejutan besar buat pasangan Thailand kerana mereka tidak tahu cara permainan kami memandangkan Jing Yi bukan gandingan asal saya,” katanya.- UTUSAN ONLINE










