KEMAMAN – Perniagaan kuih bakul memberi rezeki kepada gadis orang kelainan upaya (OKU), Haziqah Nurul Huda Harun, 22, apabila tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Dia yang lebih mesra dengan panggilan Yaya berkata, kira-kira 40,000 kuih bakul telah disiapkan sejak menerima tempahan penghujung bulan lalu.
Kata Yaya, dia mempelajari cara membuat kuih bakul dan kuih bulan menerusi kenalan Facebook yang juga seorang cef dari Beijing, China pada 2014 sebelum memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Saya menjangka menerima tempahan 100,000 biji kuih sepanjang sambutan Tahun Baru Cina tidak termasuk 20,000 yang dieksport ke China.
“Dibantu 10 pekerja, saya terpaksa menghentikan sementara pengeluaran kuih bulan yang merupakan produk utama kilang ini untuk memberi fokus kepada kuih bakul,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kilangnya di Teluk Kalong dekat sini baru-baru ini.










