Koperasi perlu berani ceburi bidang perniagaan berimpak tinggi - Utusan Malaysia

Koperasi perlu berani ceburi bidang perniagaan berimpak tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH 11 Feb. – Semua pemimpin koperasi di seluruh negara perlu memikirkan strategi baharu untuk meningkatkan lagi peranan dan sumbangan koperasi kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, antara strategi yang perlu diperhalusi adalah koperasi mesti berani untuk menceburi bidang perniagaan berimpak tinggi.

“Langkah ini merupakan satu-satunya jalan yang membolehkan kita membuktikan bahawa gerakan koperasi mampu memainkan peranan bukan sahaja dengan memberikan faedah kepada ahli-ahlinya tetapi juga membantu kerajaan dan negara dalam pembangunan ekonomi.

“Hal ini sejajar dengan pengiktirafan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada gerakan koperasi sebagai sektor ketiga dalam membangunkan ekonomi negara selepas sektor kerajaan dan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja ke tapak penternakan udang putih baka Amerika Selatan seluas 0.4 hektar yang mengguna pakai teknologi litar lumba milik Koperasi Pelaburan Pembangunan Hartanah (KPPH) Perak Berhad dekat Temoh hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif KPPH Perak Berhad, Saifol Bahri Samsudin.

Projek penternakan udang secara organik itu yang bermula sejak 2016 kini memasuki penuaian hasil kelima selepas hidupan itu dibiakkan dalam tempoh 80 hari dengan 18 tan udang boleh dihasilkan dalam masa setahun di sini.

Selain di Temoh, KPPH Perak Berhad juga memiliki projek ternakan udang serupa di kawasan seluas 101 hektar di Kampung Bukit Malut, Langkawi dengan kemampuan mengeluarkan 250,000 tan udang setahun.

Untuk rekod, permintaan ter­hadap udang putih di negara China mencecah 180 juta tan setahun, justeru pasaran hasil laut itu terbuka luas untuk dipelopori.

Sehubungan itu Abdul Fattah berkata, Angkasa selaku badan induk yang diberikan tanggungjawab untuk merangsang dan memajukan gerakan koperasi, akan membantu KPPH Perak Berhad dengan mencari koperasi-koperasi lain yang boleh bekerjasama dalam projek itu.

Beliau berkata, Angkasa melihat peluang itu sebagai sesuatu yang boleh diceburi untuk menjadi pengeksport udang di peringkat antarabangsa sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan makanan.

“Lebih menarik, mereka (KPPH Perak Berhad) mempunyai perjanjian ladang kontrak dengan syarikat dari negara China yang mana sebahagian besar udang itu akan dieksport ke sana.

“Malahan, akan ada kerjasama dengan universiti sains dan perikanan di China yang akan membantu mereka membuat kajian serta memberi cadangan penambahbaikan bagi litar lumba di Langkawi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×