LABIS 11 Feb. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat terus menyokong kerajaan yang sentiasa komited membawa kemajuan dan pembangunan untuk manfaat rakyat dan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata, semua projek infrastruktur yang dilaksana oleh kerajaan telah banyak memberi kemudahan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau menegaskan, kemajuan dan pembangunan akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya hubungan antara kerajaan negeri dan Pusat adalah baik.
“Malah, lebih mudah sekiranya kerajaan negeri dan Pusat satu dulang, satu parti,” katanya semasa melancarkan projek membina semula Jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri, Datin Seri Rosni Omar; Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Shirlin; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.
Projek yang bermula dari Kampung Desa Temu Jodoh hingga Kampung Kwong Sai menelan kos RM92.3 juta. – UTUSAN ONLINE










