KUALA LUMPUR – Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya yang direkodkan pada tahun 2017 menurun sebanyak 412 kepada 6,740 daripada 7,152 kematian dicatatkan pada 2016.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Ting Lai berkata, indeks kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar turut menyusut kepada 2.34 pada tahun 2017 daripada 2.59 pada tahun sebelumnya.
“Saya berhasrat untuk menurunkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar kepada 2.0 pada tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2018 di sini hari ini.
Beliau turut berkata bahawa motosikal masih menjadi penyumbang utama jumlah kematian di jalan raya dengan 64.5 peratus (4,348) daripada jumlah pengguna jalan raya yang maut pada tahun 2017 adalah penunggang motosikal.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran tersebut, Liow berkata pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) telah menunjukkan pencapaian yang besar. – Bernama










