ALOR SETAR 7 Feb. – Seperti dijangka, Goh Jin Wei tidak berdepan masalah untuk menyumbang mata kedua Malaysia dalam aksi Kumpulan Y menentang Filipina pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini sebentar tadi.
Pemain berusia 19 tahun itu memerlukan hanya 22 minit untuk mengetepikan Aira Mae Nicole Albo 21-6, 21-7.
Dia memberitahu, tumpuannya kini lebih terarah kepada pertemuan menentang Thailand, esok kerana ia akan menjadi penentu sama ada Malaysia mampu menjadi juara kumpulan atau tidak.
Katanya, cabaran sudah pasti sengit dan berkemungkinan besar dia akan berdepan cabaran Pornpawee Chochuwong dalam aksi perseorangan kedua.
“Sudah lama saya tidak bertemu dengannya tetapi saya pasti akan melakukan persiapan sebaik mungkin untuk berdepan cabaran esok,” katanya yang memiliki rekod kemenangan 3-0 ke atas Pornpawee dalam tiga pertemuan sebelum ini. – UTUSAN ONLINE










