GUA MUSANG 13 Feb. – Seramai 5,252 guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini harus ikhlas menjalankan tugas agar setimpal dengan imbuhan yang diperuntukkan kerajaan sebanyak RM58 juta setahun.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Muhammad Zahari Othman berkata, hal ini kerana terdapat guru yang dilantik itu tidak bersikap jujur ketika melaksanakan tanggungjawab.
Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung masalah membabitkan guru KAFA yang tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan termasuklah datang lewat serta tidak berdisiplin.
“Lebih mengecewakan lagi ada guru terbabit tidak minat mendidik murid sekolah rendah dan bercanggah dengan perlantikan mereka.
“Mereka dilihat lebih berminat mendidik pelajar sekolah menengah dan kita di pusat pentadbiran pun berasa hairan dengan situasi itu,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Watikah Guru Kafa Parlimen Gua Musang di Dewan Sekolah Menengah Sains Gua Musang, baru-baru ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyampaikan watikah kepada 346 guru Kafa sesi 2018.
Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO bahagian, Mohd. Syahbuddin Hashim.
Menurut Muhammad Zahari lagi, matlamat kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan melantik guru KAFA adalah untuk meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan murid sekolah rendah bermula 1990.
“Kita mahu setiap guru KAFA positif dengan tugasan mereka mendidik murid sekolah rendah dan jangan bersikap remeh dengan tanggungjawab itu.
“Pendidikan agama bermula di sekolah rendah kerana itulah asas pembentukan murid selain bidang akademik,” katanya.










