PONTIAN 11 Feb. – Kerajaan sentiasa berusaha membangunkan kawasan luar bandar supaya mempunyai ciri-ciri kehidupan lestari serta menikmati peluang ekonomi yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, masyarakat luar bandar, termasuk golongan belia turut digalakkan merebut peluang dalam bidang perniagaan yang terhidang.
Beliau berkata, usaha tersebut amat bertepatan dengan program transfomasi kerajaan serta transfomasi ekonomi supaya masyarakat luar bandar turut bersama-sama menyahut cabaran tersebut.
“Pendekatan yang diambil oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam menggerakkan satu resepi ekonomi baharu amat dialu-alukan dengan mewujudkan Mobilepreneur atau Usahawan Bergerak.
“Kita sedia maklum, untuk memulakan perniagaan modal sentiasa menjadi satu isu yang kritikal. Dengan pakej mobilepreneur, peserta diharap lebih berdaya tahan, boleh berkembang sedikit demi sedikit,” katanya dalam majlis penyerahan Mobilepreneur@KKLW peringkat negeri di Dewan Muafakat Taman Saujana, di sini baru-baru ini.
Program Mobilepreneur dengan menggunakan motosikal merupakan konsep perniagaan baharu diperkenalkan dan setiap peserta menerima RM10,000 meliputi kos membeli motosikal sebanyak RM5,000, peralatan RM4,000 dan RM1,000 untuk latihan.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, semasa program tersebut diperkenalkan pada tahun 2016 dengan 500 peserta, usaha itu kini semakin semakin menunjukkan peningkatan pendapatan dalam kalangan peserta.
Beliau berharap program itu dapat memberi impak yang besar dan menyediakan peluang pekerjaan baharu dan golongan usahawan tersebut dapat meningkatkan kreativiti dalam menguruskan perniagaan, memberi perkhidmatan yang menepati masa, harga yang kompetitif.
“Diharap mereka juga dapat bersaing dengan sihat dan saling membantu serta membina rangkaian pemasaran bagi kebaikan bersama,” katanya.











