NEW YORK 10 Feb. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mempertimbangkan draf resolusi menggesa gencatan senjata selama 30 hari di Syria bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan segera di negara bergolak tersebut.
Langkah itu dikemukakan oleh Sweden dan Kuwait yang turut menggesa kepungan ke atas kawasan pemberontak oleh tentera kerajaan dihentikan termasuk di Ghouta Timur yang diserang teruk tentera Syria dan menyaksikan lebih 240 orang awam terbunuh dalam lima hari.
Cadangan itu dibuat sehari selepas UNSC gagal menyokong rayuan yang dibuat oleh pegawai bantuan PBB bagi menghentikan pertempuran selama sebulan di Syria.
Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata, tidak wajar untuk mengadakan gencatan senjata kerana kumpulan bersenjata yang memerangi tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad tidak akan menyokong langkah itu.
Rusia berulang kali menyekat beberapa langkah yang dibuat UNSC dipercayai akan memberi tekanan ke atas sekutunya, Bashar.
Rundingan tentang langkah itu dijangka dimulakan Isnin ini ketika diplomat mendakwa draf berkenaan akan segera diundi untuk kelulusan.
Bagaimanapun masih tidak jelas sama ada Rusia akan menggunakan kuasa vetonya bagi menyekat draf resolusi yang mengusulkan gencatan senjata selama 30 hari.
Menurut teks draf yang diperoleh AFP, langkah itu akan menentukan bahawa kesemua pihak yang terlibat dalam konflik Syria perlu segera mematuhi arahan menghentikan keganasan dan operasi kemanusiaan sementara di seluruh Syria bagi tempoh 30 hari.
Konvoi bantuan membawa makanan, ubat dan pelbagai barang keperluan asas lain akan dibenarkan untuk membuat penghantaran secara mingguan kepada orang awam yang memerlukan, terutamanya 2.9 juta rakyat Syria yang hidup di bawah kepungan.
Pegawai bantuan PBB sementara itu menuduh kerajaan Syria menyekat kesemua konvoi bantuan daripada memasuki kawasan kepungan mereka sejak Januari lalu.
Kumpulan hak asasi menuduh pentadbiran Bashar menggunakan taktik kepung dan lapar ke atas kawasan pemberontak.
Draf resolusi itu juga antara lain menggesa kesemua pihak menghentikan kepungan di kawasan padat penduduk selain menamatkan sekatan ke atas kemasukan makanan dan bantuan perubatan yang penting untuk kelangsungan hidup mereka. – AFP










