PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mahu melahirkan lebih ramai pembikin filem generasi baharu menerusi Projek Sinema: Pencetus Aspirasi Filem Malaysia.
Program inkubator selama 16 hari itu menghimpunkan 24 peserta yang dipilih daripada 49 permohonan bagi mengikuti latihan meliputi aspek penulisan skrip, lakonan, pengarahan dan penerbitan.
Menurut Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, program berkenaan dapat menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam industri kandungan kreatif yang berpotensi mencipta nama bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat Asia.
“Objektif kami adalah untuk mewujudkan bakat besar di Malaysia. Mungkin daripada 24 peserta ini, ada satu atau dua orang akan menjadi nama besar di Malaysia dan Asia.
“Kalau lebih daripada itu, lagi bagus untuk kita. Kita mahu beri ruang kepada sahabat dalam industri kreatif tanah air untuk mendapat ilmu, peluang dan ruang menghasilkan cerita yang sangat berbeza,” katanya pada sidang media Projek Sinema: Pencetus Aspirasi Filem Malaysia di Dewan Panca Delima, Menara FINAS, Damansara Damai di sini, baru-baru ini.
Menurut Hans, FINAS memberi penekanan terhadap empat elemen utama dalam pembikinan filem iaitu penulisan skrip, pengarahan, lakonan dan penerbitan bagi memastikan peserta memahami keseluruhan proses menghasilkan sesebuah karya.
“Bagi saya, tunjang sesebuah karya datang daripada skrip. Selepas skrip, ia pergi kepada pengarah, kemudian pelakon dan selepas selesai penggambaran, ia masuk pula ke fasa penerbitan serta pemasaran.
“Jadi, ini empat elemen yang kita tumpukan. Kalau boleh, kami di FINAS mahu meneruskan perjuangan ini menerusi program seperti ini pada masa hadapan.
“Mungkin disertai bakat yang lebih muda, daripada umur 20 tahun boleh datang ke sini dan mendapatkan ilmu daripada kita menerusi program seperti ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hans memaklumkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan bersama Ahli Perbadanan FINAS dan Kementerian Komunikasi bagi membolehkan Projek Sinema diteruskan sebagai program tahunan.
“Sebelum ini, saya buat satu projek untuk artis veteran supaya mereka boleh terus bekerja daripada hanya menunggu produser menghubungi mereka. Jadi, program ini pula untuk peserta lebih muda dan pembikin filem generasi baharu.
“Tetapi apabila saya kata muda, bukan bermaksud mereka yang berusia 20 tahun sahaja. Mereka yang berusia 35 tahun dan sebagainya juga boleh sertai.
“Mungkin ada pembikin filem baharu yang tidak pernah mendapat peluang menjadi pengarah pertama, penerbit pertama atau pelakon utama dalam watak besar. Jadi, kita mahu beri ruang kepada mereka untuk mengembangkan ilmu dan kebolehan,” kongsinya.
Mengulas kriteria pemilihan pula, Hans mendedahkan penyertaan program itu terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada mereka yang sudah mempunyai pengalaman luas dalam industri.
“Kita dapat ramai penyertaan daripada mereka yang berkecimpung dalam industri kreatif. Ada peserta baharu juga. Tetapi itu tidak penting. Apa yang penting ada ilmu, kemampuan untuk datang belajar dan inisiatif mereka sendiri.
“Kalau mereka keluar daripada program ini dan menjadi Aziz M Osman, Datuk Rosyam Nor atau Datuk Afdlin Shauki generasi baharu, itulah yang kita mahukan.
“Kita mahu orang yang ada bakat, bukan hanya bergantung kepada jumlah pengikut di media sosial dan rasa sudah cukup untuk menjadi pelakon,” ujarnya.
Projek Sinema diperkenalkan sebagai usaha merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan realiti sebenar industri kreatif selain membentuk generasi pembikin filem yang lebih kreatif, profesional dan memahami proses penerbitan secara menyeluruh.
Program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta menjalani latihan berstruktur, mendapat bimbingan daripada penggiat industri berpengalaman serta menghasilkan projek filem pendek sebagai hasil akhir.
Modul pembangunan idea dan skrip dikendalikan Mira Mustafa dan Maizurah Ederis, manakala modul lakonan dibimbing Sherie Merlis dan Bella Rahim.
Bagi modul pengarahan dan kamera pula, peserta dibimbing Ghaz Abu Bakar dan Nik Amir Mustapha, manakala aspek penerbitan dikendalikan Lyn Nasihan dan Denes Kumar.










