Gading Kencana bina LSSPV 30mW di Bidor - Utusan Malaysia

Gading Kencana bina LSSPV 30mW di Bidor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Gading Kencana Development Sdn. Bhd. yang membina Projek Solar Photovoltaic Berskala Besar (LSSPV) 30 megawatt (mW) dengan kos keseluruhan berjumlah RM214 juta di Bidor, Perak dijangka siap pada 28 Mei ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Affin Islamic Bank Bhd. telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM130.34 juta, sementara baki kos projek ditanggung oleh ekuiti syarikat pemaju itu.

Menurutnya, ladang tersebut bakal menggunakan sebanyak 110,500 keping solar modul buatan Malaysia dan bakal mewujudkan sekitar 304 peluang pekerjaan yang majoritinya daripada golongan tempatan.

Katanya, mengikut tahap kelajuan pembinaan bermula pada Disember tahun lalu hingga kini telah mencapai paras 30 peratus siap dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Mei ini yang bakal mencatat rekod masa pembinaan terpantas 30 mW LSSPV di rantau ini.

“LSSPV ini akan menghasilkan 53,651,000 kilowatt jam (kWh) setahun dan menjimatkan 800,000 tan pelepasan karbon,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan perjanjian usaha sama strategik antara Affin Islamic dan Gading Kencana di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Affin Bank Bhd., Jeneral (B) Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin; Pengerusi Affin Islamic, Mohd. Suffian Haron; Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Nazlee Khalifah; Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Guntor Tobeng dan Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razak Abdul Majid.

Pembinaan tersebut juga adalah sejajar dengan hasrat negara untuk mencapai sasaran 2,080 mW pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2020 di bawah Dasar Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pelan Tindakan.

Sementara itu, Nazlee berkata, Affin Islamic terus berminat untuk meneroka pelbagai peluang pembiayaan baharu khususnya dalam bidang teknologi hijau dan RE selari dengan inisiatif kerajaan untuk memacu keupayaan negara dalam bidang berkenaan.

Katanya, keyakinan Affin Islamic terhadap Gading Kencana adalah kerana kecekapan syarikat itu dalam projek ladang solarnya seluas tujuh hektar di Ayer Keroh, Melaka yang telah beroperasi sejak 2014 dengan kapasiti lapan mW.

“Kami akan terus menyokong Gading Kencana berdasarkan ladang solarnya di Ayer Keroh sebagai antara ladang paling cekap di dunia yang mampu mengeluarkan 1 mW dalam setiap 1.5 ekar, berbanding piawaian dunia 1 mW dalam setiap lima ekar,” katanya.

Guntor berkata, keyakinan dengan pembiayaan institusi perbankan bagi ladang solar di Bidor itu akan menjadi pemangkin kepada usaha Gading Kencana dalam meneroka pasaran yang lebih luas terutama di luar negara di masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×