ETP catat kejayaan - Utusan Malaysia

ETP catat kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Pencapaian cemerlang ha­sil Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diwujudkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2010 berjaya mencatatkan kejayaan memberangsangkan dalam bidang pekerjaan sektor perkhidmatan.

ABDUL RAHMAN DAHLAN

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ini terbukti menerusi sumbangan tertinggi sektor tersebut iaitu sebanyak 54 peratus kepada Kelua­ran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuk menyediakan peluang pekerjaan kepada 1.78 juta orang.

Katanya, dengan adanya peluang pekerjaan yang kukuh, Malaysia turut berjaya mengekalkan kadar guna tenaga penuh dan berjaya mencatatkan kadar peng­angguran rendah pada 3 peratus sehingga 3.5 peratus.

“Peluang pekerjaan di nega­ra ini banyak disediakan sei­ring dengan prestasi ekonomi yang kukuh. Ini terbukti dengan kewujudan peluang berkenaan iaitu sebanyak 679,300 pekerjaan berkemahiran tinggi disediakan sejak tahun 2010 sehingga 2016.

“Selain itu, kerajaan dalam masa yang sama juga berusaha menyediakan beberapa inisiatif untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan universiti dan belia,” kata­nya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pengenalan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) turut membantu 130,000 orang graduan universiti untuk mening­katkan pasaran mereka dalam pekerjaan.

“Lebih 90 peratus pelatih SL1M mendapat pekerjaan. Begitu ju­ga dengan program lain seper­ti latihan selama enam minggu di bawah Program Latihan Pragra­duan (GCAP) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah (GEMS) untuk penempatan serta latihan .

“Malah, graduan dan belia turut diberi dana pelaburan permulaan untuk memulakan perniagaan dan keusahawanan se­perti Tabung Usahawan Belia dan Tabung Usahawan Siswazah yang disediakan oleh SME Bank menerusi pembiayaan RM100,000 dengan kadar faedah rendah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN