PETALING JAYA 6 Feb. – Pelakon kacak Erwin Dawson, 29, mengakui, selepas lima bulan menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Julia Farhana, dia sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya.
Bagaimanapun memandangkan dia memegang kerakyatan Singapura menyebabkan proses untuk melangsungkan perkahwinan itu berbeza.
“Saya sudah ke Jabatan Agama Islam Kuala Lumpur dalam bertanyakan soal ini dan prosesnya saya sudah faham. Cuma buat masa ini saya dan Julia sendiri tidak tahu bila akan langsungkan perkahwinan.
“Memang kalau boleh kami mahu percepatkan perkara yang baik,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai kisah cinta mereka yang agak rahsia, Erwin menjelaskan bahawa hanya baru-baru ini sahaja mereka lebih terbuka untuk berkongsi cerita.
“Kami berkenalan melalui seorang rakan. Sukar saya mahu berkongsi tentang istimewanya Julia memandangkan dia adalah seorang yang sangat istimewa buat diri saya.
“Kami memang tidak berkongsi apa-apa sebelum ini cuma kebelakangan ini lebih terbuka untuk berkongsi di laman sosial,” katanya.
Sementara itu Erwin bakal mengacarakan Feel Good Show yang juga sebuah rancangan bual bicara yang akan ke udara pada awal Mac nanti menerusi stesen NTV 7.
Selain Erwin terdapat lapan lagi pengacara yang akan turut mengemudi rancangan ini antaranya Sugeeta Chandran dan Aaron Al-Fateh.
Berkongsi cerita tentang peluang pertamanya mengendalikan mengacarakan sebuah rancangan secara langsung, Erwin optimis dan yakin dengan kepercayaan yang diberikan pihak NTV 7.
“Kali pertama untuk mengemudi rancangan secara langsung, bagaimanapun saya tidak dapat gambaran jelas mengenai program tersebut memandangkan rancangan itu hanya akan ke udara pada Mac nanti.
“Cuma yang boleh saya kongsikan tentang program pagi ini ialah kesemua hos dalam program ini bebas untuk bertutur dalam bahasa Malaysia dan Inggeris dan saya yakin topik yang akan dibawa juga adalah topik yang dekat dengan penonton,” katanya. – UTUSAN ONLINE









