Dua gol Leandro Velez bantu Negeri Sembilan raih mata pertama - Utusan Malaysia

Dua gol Leandro Velez bantu Negeri Sembilan raih mata pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 7 Feb. – Selepas tumpas dalam perlawanan sulung Sabtu lalu, Negeri Sembilan bangkit malam ini untuk menumpaskan Kuala Lumpur 2-0 dalam kempen Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.

Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan berhati-hati dengan mengatur serangan untuk cuba menembusi benteng pertahanan pasukan lawan.

Pasukan tuan rumah memperoleh gol pertama pada minit ke-11 melalui penyerang import Nicolas Leandro Velez yang menerima bola hantaran jauh dari tengah padang melepasi barisan pertahanan Kuala Lumpur.

Penyerang dari Argentina itu kemudian memperdayakan penjaga gol Kamarul Effandi Abdul Rahim sebelum melepaskan sepakan.

Gol itu ternyata memulihkan semangat anak buah jurulatih, Jorg Peter Steinebrunner untuk menggandakan serangan selepas tersentak dengan kekalahan 0-1 kepada PKNP FC dalam perlawanan sulung Sabtu lalu.

Hasilnya, Negeri Sembilan mengukuhkan kedudukan pada minit ke-31 dengan gol kedua, juga dari Leandro Velez yang memanfaatkan kuisan bola oleh Mohd. Khairul Izuan Rosli yang menyerang dari sayap kiri.

Menggunakan kemahiran kaki kiri, pemain berusia 27 tahun itu melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur.

Separuh masa kedua, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim da Silva mengubah strategi untuk membolehkan anak buahnya menembusi gawang Negeri Sembilan yang dikawal oleh Saiful Amar Sudar melalui beberapa percubaan oleh rangkaian pemain import namun gagal.

Kuala Lumpur akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan keduanya selepas ditumpaskan Selangor 0-2 dalam aksi sulung Ahad lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×