Empat penuntut Universiti Limkokwing dan empat kru penerbitan mencipta sejarah apabila berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter sambil menerbitkan sebuah dokumentari berjudul Kembara Hebat yang meliputi ekspedisi itu.
Penuntut-penuntut jurusan Sarjana Filem Digital dan Televisyen universiti itu melakukannya dalam ekspedisi tiga hari dua malam anjuran sendiri, Disember lalu bagi menyiapkan projek pengajian mereka di bawah subjek Dokumentari Dalam Zaman Digital.
Diketuai Raja Mohamad Amin Raja Azhar yang juga pengarah dokumentari, ekspedisi yang turut dianggotai Saidatul Nurlin Ahmad Hishamnuri, Aftab Alam dan Tay Sheik Er mengharungi pelbagai rintangan sepanjang perjalanan sejauh 8.5 kilometer itu.
Mereka mengambil masa sembilan jam bagi pendakian dari Timpohon ke Laban Rata dan enam jam lagi untuk menawan puncak Kinabalu yang dikenali sebagai ‘Low’s Peak’ yang juga merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara.
“Sememangnya satu perjalanan dan pendakian Kinabalu yang mencabar di bawah cuaca ekstrem (dua darjah Celsius) apatah lagi kerana perlu menyiapkan projek penggambaran dokumentari yang meliputinya.
“Bukan sekadar berkisar pengembaraan ke puncak dan keindahan Gunung Kinabalu, kembara hebat juga merupakan manifestasi kerjasama, tanggungjawab, ketahanan mental dan fizikal kami sepasukan, seterusnya mengharumkan nama Universiti Limkokwing.
“Dokumentari ini juga mampu memberi keadaan dan gambaran sebenar cabaran pendakian gunung selain mendidik orang ramai mengenai kepentingan penjagaan flora dan fauna untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.
Penggambaran dan penerbitan dokumentari ini turut dibantu oleh Saidatul Nurlin sebagai Penerbit, Sheik Er selaku Pengarah Fotografi Sheik Er dan Aftab, Pengarah Produksi.
Ujar Raja Amin, dokumentari berkenaan akan ditayangkan kepada pelajar-pelajar Limkokwing selain bakal muncul di kaca TV sebuah saluran stesen tempatan, tahun ini.










