KUCHING 10 Feb.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berasa sangat berbaloi untuk memberi perhatian lebih kepada Sarawak dalam mendapatkan projek pembangunan kerana negeri ini telah berjaya mengukuhkan kekuatan Barisan Nasional (BN) selama ini.
Sehubungan itu, ujarnya, rakyat Sarawak tidak perlu berasa takut dipinggirkan kerana beliau akan sentiasa berbuat baik kepada negeri ini sebagai membalas jasa tersebut.
Katanya, beliau turut melihat seluruh pelosok negara dari Perlis sampai ke Sarawak untuk berlaku adil dan saksama dalam pemerintahan.
“Kalau ada jurang pembangunan di mana-mana negeri, saya sebagai Perdana Menteri wajib membetulkannya seperti bangunan sekolah daif di Sarawak yang dilaporkan ada dinding bilik (darjah) berlubang dan murid nakal mengambil kesempatan mengintai guru menyalin pakaian.
“Saya tidak ragu-ragu, rasa berbaloi jika kita memberi perhatian lebih besar kepada Sarawak sebab negeri ini luas. Saya ingatkan Pahang besar, rupanya Sarawak lebih besar daripada Pahang,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri merangkap Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg; Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Michael Manyin Jawong; Ketua Pemuda PBB, Gerald Rentap Jabu; Ketua Wanita PBB, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan barisan kepimpinan PBB yang lain.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Pengerusi BN berkata, sejak menjadi Perdana Menteri, beliau sudah mengadakan lawatan sebanyak 59 kali ke negeri ini dan sudah banyak projek pembangunan sudah diluluskan untuk dilaksanakan di Sarawak.
Beliau berkata, antara projek diluluskan ialah pembinaan Jambatan Batang Sadong, Jambatan Batang Lupar, pembinaan Jalan Kanowit-Kapit dan Lebuh Raya Pan Borneo (Pan Borneo).
“Banyak lagi yang saya buat untuk Sarawak termasuk memberi peruntukan antara RM20 hingga RM30 juta pada setiap tahun untuk menjalankan kerja menyukat perimeter tanah hak adat bumiputera (NCR) bagi membolehkan rakyat mendapatkan tanah dengan segera.
“Saya juga sudah berbincang dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah kerana pembinaan Pan Borneo yang turut merentasi negara itu memudahkan perhubungan dari Sarawak ke Sabah dan kita turut merancang membina jambatan di Menumbok, Sabah,” katanya.
Najib berkata, beliau tidak bercakap kosong apabila berjanji kepada rakyat kerana apa yang dirancang sudah dilaksanakan seperti pembinaan Pan Borneo yang rancak berjalan sekarang, malah tender projek bernilai RM14 bilion hanya diberikan kepada kontraktor bumiputera termasuk Kelas F dan subkontraktor.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau tiada masalah untuk memenuhi permintaan Abang Johari yang mahu kerajaan Pusat membantu membina sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Sarawak dan memberi lain-lain projek pembangunan dengan syarat PBB bersama parti komponen BN lain di negeri ini perlu mencapai keputusan baik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
“Tiada masalah untuk Sarawak mendapatkan LRT, kita boleh bincang tetapi bagilah keputusan baik dulu, baru saya boleh bagi A+. Kita mahu mendapat mandat besar dalam PRU-14 untuk menubuhkan sebuah negara Malaysia yang kuat,” ujarnya.











