TAIPING – Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia di Hospital Taiping di sini kelmarin dipercayai akibat didera.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, bayi yang dikenali sebagai Nur Khayra itu dibawa ke hospital tersebut kira-kira pukul 6.30 petang Jumaat lalu oleh ibu bapanya untuk dirawat selepas tidak sedarkan diri.
Beliau berkata, bayi tersebut bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 pagi kelmarin.
Jelasnya, berdasarkan keterangan ibu bapa bayi itu, kejadian tersebut berlaku selepas anak bongsu daripada dua beradik itu terjatuh daripada buaiannya.
“Bayi itu kemudiannya dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) dan telah diberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).
“Laporan pengimbasan tomografi berkomputer menunjukkan mangsa mengalami pendarahan pada otak dan dalam mata,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini semalam.










