Bangkitlah penyerang tempatan - Utusan Malaysia

Bangkitlah penyerang tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Bukan satu isu baharu untuk membincangkan tentang ketandusan penyerang tempatan berkualiti dalam saingan Liga Malaysia kerana sejak kebelakangan ini perkara itu sering dibangkitkan saban tahun namun sehingga kini kemelut itu masih belum menemui jalan penyelesaian.

Jika dahulu kita mampu melahirkan ramai penyerang berkualiti seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Hassan Sani, Azman Adnan, Matlan Marjan, Hashim Mustapha, Azizul Kamaluddin, Hairuddin Omar dan ramai lagi tetapi sejak daripada itu kemampuan penyerang tempatan sering diragui.

Ditambah dengan penambahan kuota import musim ini, ia tidak boleh dijadikan satu alasan kerana tiada mana-mana liga utama dunia tidak menggunakan pemain import tetapi dalam masa sama mereka tetap berjaya melahirkan penyerang berkualiti.

Bagi bekas penyerang kebangsaan dan Selangor Azman Adnan, dia percaya bahawa para pemain tempatan mempunyai kualiti tersendiri tetapi dalam masa sama mereka tidak boleh bersikap terlalu selesa.

Sebaliknya mereka harus menggandakan lagi usaha dalam mempertingkatkan prestasi diri dan memperbaiki kekurangan diri serta bersaing dengan pemain import dalam merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Kita sebenarnya mempunyai ramai pemain yang berkualiti namun untuk bersaing tempat dengan pemain import mereka harus menggandakan usaha dan mencari alternatif sendiri dalam memajukan diri.

“Terlalu awal untuk menilai kemampuan penyerang tempatan kerana liga baru bermula…tapi tidak dinafikan kebanyakan pasukan menggunakan penyerang import di bahagian hadapan namun saya sangat berharap penyerang tempatan terutamanya dapat menonjolkan diri.

“Contoh zaman saya dahulu (sebagai pemain), saya pernah bermain dengan Tony Cottee, Chris Kiwomya dan banyak lagi. Ketika itu pemain tempatan mampu bersaing, sebab kami mempunyai keinginan tinggi untuk berebut tempat dan bersaing dengan mereka. Itu yang saya nampak tidak ada dalam diri pemain tempatan buat masa ini tapi ia masih belum terlambat untuk berubah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya kehadiran pemain import juga sebenarnya memberi kebaikan kepada pemain tempatan jika kita berfikir daripada sudut positif.

“Kebanyakan pasukan kini membawa pemain-pemain import yang berkualiti, dari situ kita boleh belajar dengan mereka dari segi kemahiran dan teknik. Jangan pula kita terlalu mengharapkan mereka tanpa berusaha menonjolkan diri,” tambahnya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini tentang aksi pembukaan Liga Super yang menyaksikan 12 daripada 13 gol dihasilkan oleh pemain import, sehingga menimbulkan persoalan tentang dimanakah kelibat penyerang tempatan sekali gus boleh memberi kesan kepada skuad kebangsaan.

Sementara itu bekas penyerang Sabah, Matlan Marjan mengakui bahawa sehingga kini dia masih belum dapat melihat mana-mana penyerang tempatan yang mempunyai ketajaman penyudah yang baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN