KUALA LUMPUR 8 Feb. – MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR Corp.) menerima kira-kira 95 peratus maklum balas positif daripada orang awam berkaitan projek pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) dengan 98 peratus terdiri daripada penduduk di Johor dan Kuala Lumpur.
Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp., Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, kaji selidik itu dilakukan sempena latihan pemeriksaan awam yang dijalankan pihaknya selama tiga bulan berakhir 31 Januari lalu.
Beliau berkata, latihan pemeriksaan awam itu menerima lebih 35,000 respons daripada orang awam dan merupakan yang tertinggi diterima dalam kalangan projek-projek pengangkutan awam berasaskan rel di Malaysia.
“Sebahagian besar daripada jumlah responden diwakili oleh kumpulan berusia antara 21 hingga 40 tahun dengan bidang penting yang disenaraikan ialah potensi manfaat yang dibawa oleh projek dari segi memudahkan perjalanan dan pembangunan ekonomi, proses pengambilan tanah, lokasi stesen dan penjajaran, serta langkah-langkah pemuliharaan alam sekitar yang dilakukan oleh projek ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, latihan pemeriksaan awam itu juga menyediakan peluang untuk orang ramai melihat dan mendapatkan maklumat mengenai projek HSR KL-SG seperti penjajaran yang dirancang, lokasi stesen, ciri-ciri stesen biasa dan susun atur, pelan pengambilan tanah, data teknikal kereta api dan Program Pembangunan Sosio-ekonomi (SEDP) di gerai-gerai pameran yang terlibat.
“Lebih 130 gerai telah ditubuhkan di lokasi-lokasi utama di sepanjang jajaran di antara Kuala Lumpur dan Iskandar Puteri.
“Kami gembira dengan sokongan yang diterima oleh projek HSR KL-SG hasil daripada pelaksanaan Pemeriksaan Awam. Pasukan kami juga dapat mengumpulkan pandangan penting mengenai bagaimana untuk meningkatkan lagi projek tersebut dan ia juga sebagai sebahagian daripada matlamat kami untuk terus melibatkan orang ramai dari semasa ke semasa untuk berkongsi maklumat terkini mengenai projek itu,” katanya.
Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek HSR KL-SG juga turut dipamerkan di gerai Pemeriksaan Awam sebagai sebahagian daripada paparan wajib satu untuk tempoh satu bulan bermula dari 27 Disember 2017 hingga 25 Januari 2018.
“Kajian tersebut kini boleh disemak di laman web MyHSR Corp sehingga 9 Februari 2018 untuk ulasan dan maklum balas,” katanya.
Projek HSR KL-SG bakal meletakkan Malaysia di peta dunia sebagai antara negara yang mampu menyediakan sistem pengangkutan bertaraf dunia.
Dijangka siap menjelang 2026, projek berkenaan menjadi penanda aras kepada hasrat Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi.










