450 warga 9 Briged Infantri Malaysia berdialog bersama Panglima 1 Divisyen - Utusan Malaysia

450 warga 9 Briged Infantri Malaysia berdialog bersama Panglima 1 Divisyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU 7 Feb. – Seramai 50 pegawai dan 400 anggota naungan formasi 9 Briged Infantri Malaysia hadir pada sesi taklimat dan dialog bersama Panglima 1 Divisyen, Datuk Stephen Mundaw di Dewan Oya Lama, Batu 14 di sini hari ini.

Dalam perjumpaan itu, Stephen mengambil peluang memberi penerangan mengenai 6 Teras Hala Tuju Kementerian Pertahanan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Kesiapsiagaan, Diplomasi Pertahanan, Keselamatan, Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) dan Program Skim Anuiti Veteran (SAVe).

Selain itu, para pegawai dan anggota yang hadir turut berpeluang untuk meluahkan pendapat dan bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab antara beliau dan warga 9 Briged.

Menurut Stephen, Divisyen Pertama Infantri Malaysia akan senantiasa prihatin terhadap kebajikan anggota di bawah naungannya berdasarkan 6 Teras Hala Tuju Kementerian Pertahanan.

“Kementerian Pertahanan dan pihak atasan akan terus berusaha memerah otak bagi mewujudkan fasiliti serta kemudahan kepada anggota serta pegawai yang sedang berkhidmat mahu pun yang telah bersara.

“Antara fasiliti atau kemudahan yang telah diberikan ialah Program SASaR yang memberi kemudahan dan dorongan kepada anggota untuk memiliki rumah mampu milik dan Program SAVe yang bertanggungjawab di dalam aspek pencen anggota dan pegawai,” ujarnya.

Yang turut hadir, Panglima 9 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa; Ketua Staf Markas 9 Briged, Leftenan Kolonel Jauhari Talib serta semua Pegawai Memerintah dan Pemerintah di bawah naungan 9 Briged.

Mengulas lanjut, Stephen berkata, adalah menjadi harapannya mahu semua anggota ATM memiliki sebuah rumah apabila menamatkan perkhidmatan.

Selain itu, katanya, anggota juga dinasihatkan supaya tidak bersara awal dan meneruskan perkhidmatan dari 21 kepada 26 tahun bagi membolehkan mereka menikmati lebih banyak manfaat disediakan kementerian.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN