SABAK BERNAM – Perjalanan pulang empat beranak ke rumah mereka di Tanjong Karang dekat sini berakhir tragedi apabila kesemuanya maut selepas Perodua Kancil yang dinaiki terbabas sebelum bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 43, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang di sini semalam.
Mereka yang maut dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu ialah Abd. Rahim Abd. Ghani, 61, isterinya, Siti Fatimah Amat, 55 serta anak mereka, Munira, 30. Anak Munira iaitu Aniq Anaqi Mohamad berusia 6 bulan pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah.
Kosmo! difahamkan, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Tanjong Karang selepas bermalam di rumah suami Munira di Taman Maju 2, Teluk Intan, Perak.
Mereka bertolak dari Teluk Intan pada pukul 10 pagi.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Perodua Kancil dipandu Abd. Rahim dalam perjalanan ke Sungai Besar dari arah Sabak Bernam.










