KEMAMAN 6 Feb. – Sebanyak 297 bot nelayan asing yang menceroboh dan mengaut hasil laut negara secara haram telah dilupuskan dengan menenggelamkannya untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pantai Timur sejak 2006.
![]() |
|
ZULKARNAIN MOHD OMAR
|
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkarnain Mohd. Omar berkata, langkah itu bagi menyampaikan mesej kepada komuniti maritim tempatan dan antarabangsa bahawa kerajaan serius dalam soal keselamatan perairan negara dengan tidak berkompromi.
ketika bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau memberitahu bahawa, gejala yang akan terus dibendung itu masih berterusan dengan tujuh lagi bot ditahan sejak awal tahun ini.
“Sehingga kini masih terdapat 21 buah bot nelayan asing yang ditempatkan di jeti Pangkalan Maritim Kemaman sementara menunggu proses perbicaraan selesai, sebelum dilucut hak untuk dilupuskan,” ujarnya.
Terdahulu beliau memberitahu, sebuah lagi bot nelayan asing yang disita oleh pihaknya telah dilupuskan sebagai tukun tiruan di perairan daerah ini hari ini.
Bot berkenaan yang pertama dilupuskan tahun ini ditenggelamkan di lokasi kira-kira enam batu nautika dari Pulau Ular.
Katanya, kesemua bot yang masih ada akan dilupuskan mengikut kaedah itu secara berperingkat-peringkat bagi membantu mewujudkan peranti pemuliharaan biodiversiti marin.
“Diharap dengan pelupusan bot menjadi tukun tiruan ini dapat menambahkan lagi populasi ikan di perairan tersebut, seterusnya dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan,” ujar beliau.
Tambah beliau, dengan pelupusan bot-bot ini juga dapat mengurangkan kesesakan ketara di jeti Pangkalan Maritim Kemaman yang mempunyai tempat yang terhad.











