MELAKA 9 Feb. – Kira-kira 1,500 penduduk di kawasan Parlimen Bukit Katil yang merupakan golongan sasaran telah mendapat sumbangan daripada Biro Kebajikan UMNO (Bikum).
Sumbangan yang diberikan pula adalah pelbagai merangkumi antaranya akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) kepada para pelajar, 200 buah motosikal diberikan servis percuma dan pendawaian percuma bagi 10 buah rumah.
Pengerusi Bikum, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Parlimen Bukit Katil perlu dikembalikan semula kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang kerana hanya BN yang telah bantu membangunkan kawasan tersebut.
Beliau berkata demikian dalam program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di pekarangan Pejabat UMNO Bahagian Bukit Katil di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam. – UTUSAN ONLINE
Harith Nizar
KETUA UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd. Ali Rustam (tiga dari kiri) bergambar bersama Pengerusi Biro Kebajikan UMNO (Bikum), Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (kanan) dalam gimik pelancaran program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Bukit Katil di sini sebentar tadi.










