PYEONGCHANG, Korea Selatan – Lebih 1,200 pengawal keselamatan telah digugurkan dari Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang berikutan wabak norovirus, kata pihak penganjur semalam.
Daripada jumlah tersebut, seramai 41 orang mengalami muntah dan cirit-birit pada Ahad lalu.
Mereka dihantar ke hospital untuk rawatan dan kebanyakannya disahkan mengalami jangkitan norovirus.
Norovirus amat mudah berjangkit dan merebak melalui makanan ataupun air tercemar.
“Seramai 1,200 petugas yang dijangkiti virus berkenaan telah digugurkan dari tugasan mereka.
“Tempat mereka digantikan dengan kira-kira 900 anggota tentera,” kata seorang pegawai Jawatankuasa Penganjur Olimpik Pyeongchang kepada agensi berita AFP.
Pihak berkuasa kesihatan dikatakan sedang menyiasat punca jangkitan itu.
Pengawal keselamatan berkenaan tinggal di sebuah pusat latihan belia di Pyeongchang dan berasingan dari perkampungan atlet. Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang berlangsung dari 9 hingga 25 Februari ini. – AFP










