Modi sifatkan letupan maut di Delhi sebagai 'konspirasi'

Modi sifatkan letupan maut di Delhi sebagai ‘konspirasi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi menyifatkan letupan kereta yang berlaku di tengah ibu kota sebagai satu konspirasi dan berikrar pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Polis masih belum mendedahkan butiran tepat punca insiden yang berlaku berhampiran Red Fort, antara mercu tanda bersejarah India dan lokasi ucapan tahunan Perdana Menteri pada Hari Kemerdekaan.

Letupan itu mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan 19 yang lain apabila api merebak ke beberapa kenderaan.

Menurut Press Trust of India jumlah kematian dilaporkan meningkat kepada 12 orang, walaupun angka itu belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.

Insiden ini adalah kejadian keselamatan besar pertama sejak serangan tembakan pada akhir April lalu di Pahalgam, Kashmir yang dikuasai India.

Serangan tersebut mengorbankan 26 orang, kebanyakannya beragama Hindu dan mencetuskan ketegangan dengan Pakistan.

“Saya memberi jaminan agensi-agensi akan menyiasat sepenuhnya konspirasi ini. Semua yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan,” kata Modi.

Letupan berkenaan berlaku beberapa jam selepas polis India mengumumkan menahan sebuah geng dan merampas bahan letupan serta senapang serangan.

Polis berkata, lelaki-lelaki terbabit mempunyai hubungan dengan Jaish-e-Mohammed, sebuah kumpulan  yang berpangkalan di Pakistan, serta Ansar Ghazwat-ul-Hind, pecahan Al-Qaeda di Kashmir.

Kedua-dua kumpulan ini disenaraikan sebagai organisasi pengganas di India.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×