India tidak akan beri muka jika Pakistan serang lagi - Modi

India tidak akan beri muka jika Pakistan serang lagi – Modi

NARENDRA Modi memeriksa perbarisan unit beruniform sebelum berucap sempena Hari Kebangsaan India Ke-78 di New Delhi, semalam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Perdana Menteri Narendra Modi memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap Pakistan sekiranya negara itu menyerang India pada masa akan datang.

Penegasan itu disampaikan Modi ketika berucap sempena sambutan kemerdekaan India ke-78 tahun semalam dan tiga bulan selepas negara itu dengan Pakistan terlibat dalam pertempuran sengit selama empat hari.

Dalam ucapannya dari Kubu Merah yang dibina pada zaman Mughal abad ke-17 di New Delhi, Modi berkata, India kini menetapkan satu ‘normal baharu’ yang tidak membezakan antara pengganas dan pihak yang menyokong pengganasan.

Beliau juga menegaskan India tidak akan lagi bertolak ansur dengan apa yang disifatkannya sebagai ‘ugutan nuklear’ oleh Islamabad.

“India telah membuat keputusan bahawa ia tidak akan bertoleransi dengan ugutan nuklear. Sudah terlalu lama ugutan seperti ini berlaku, tetapi kini ia tidak akan diterima lagi,” katanya.

Pakistan sebelum ini menolak kenyataan India mengenai ugutan nuklear sebagai provokatif dan melampau.

India menyambut Hari Kebangsaan sehari selepas Pakistan, memperingati pemisahan berdarah India British pada 1947, yang menyaksikan pembentukan dua negara dan mencetuskan kekacauan agama paling buruk dalam sejarah, menyebabkan ratusan ribu maut dan 12 juta orang dipaksa berpindah.

Ketegangan memuncak pada Mei lalu apabila India dan Pakistan saling melancarkan serangan ketenteraan, hampir mencetuskan perang terbuka.

Pertempuran itu berpunca daripada serangan beramai-ramai pada April di Kashmir yang dikuasai India, mengorbankan 26 orang dengan kebanyakannya pelancong Hindu.

India menuduh militan disokong Pakistan sebagai dalang, namun Islamabad menafikan dan menyeru siasatan bebas.

Beberapa hari selepas pembunuhan itu, India melancarkan serangan terhadap Pakistan dan mendakwa berjaya memusnahkan sembilan tapak infrastruktur pengganas.

Pakistan menghantar dron, peluru berpandu dan tembakan artileri ke India sehingga gencatan senjata pada 10 Mei hasil usaha Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN