GUIZHOU: China bakal mencipta sejarah baharu dalam dunia kejuruteraan apabila membuka jambatan tertinggi di dunia diberi nama Jambatan Grand Canyon Huajiang yang dijangka siap pada Jun ini.
Jambatan yang kini sedang dalam fasa akhir pembinaan itu terletak di wilayah pergunungan Guizhou, barat daya China.
Ia bakal mencapai ketinggian sekitar 625 meter dari paras sungai, menjadikannya 288.64 meter lebih tinggi daripada pemegang rekod semasa, Jambatan Millau Viaduct di Perancis.
Guizhou dikenali dengan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan mencabar.
Jambatan ini merentasi kawasan dramatik yang dikenali sebagai Grand Canyon Huajiang, atau sering disebut sebagai lokasi ‘retakan bumi’ oleh penduduk tempatan.
Lebih daripada sekadar pencapaian kejuruteraan, jambatan ini dibina bagi menyokong usaha China memperkasa infrastruktur di kawasan pedalaman seperti Guizhou, yang terletak kira-kira 1287.48 kilometer dari bandar Shenzhen.
Menurut media kerajaan, jambatan itu dapat mengurangkan masa perjalanan selama dua jam kepada hanya satu minit, sekali gus mencipta perubahan besar untuk penduduk dan pengangkutan tempatan.
“Jambatan ini dibina menggunakan struktur gantungan keluli dengan panjang keseluruhan lebih 2.8 kilometer. Pembinaan bermula secara rasmi pada 18 Januari 2022 dan kini sudah hampir 95 peratus siap.
“Apabila siap dan dibuka kepada trafik pada separuh kedua 2025, projek mega yang merentasi ‘retakan bumi’ ini akan menjadi yang pertama seumpamanya di dunia dan mercu tanda baharu yang menunjukkan kehebatan infrastruktur China,” kata Jurutera Kanan Kumpulan Lebuhraya Guizhou, Zhang Shenglin kepada akhbar China Daily.
Hampir separuh daripada 100 jambatan tertinggi di dunia kini terletak di wilayah Guizhou, menjadikan kawasan ini sebagai pusat kepada projek-projek kejuruteraan mega di China.