NEW DELHI: Satu daripada kuil terkaya di India memohon maaf selepas enam orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera akibat rempuhan ketika mereka beratur untuk mendapatkan tiket ke festival yang menarik jutaan orang setiap tahun di rumah ibadat itu.
Insiden itu berlaku pada malam Rabu selepas beribu-ribu orang berkumpul di kuil Tirupati di selatan negeri Andhra Pradesh.
Visual menunjukkan orang ramai berpusu-pusu semasa tiket diedarkan di kaunter yang disediakan oleh pihak berkuasa kuil.
Pegawai di negeri itu berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pekerja kuil yang didapati bertanggungjawab ke atas tragedi itu.
Pengerusi amanah kuil tersebut, BR Naidu berkata, insiden rempuhan itu disebabkan oleh kesesakan.
“Ia satu kejadian yang malang,” katanya kepada media tempatan.
Ahli lembaga amanah kuil tersebut, Bhanu Prakash Reddy memohon maaf atas kejadian tersebut.
“Untuk mengagihkan token, kami membuka 91 kaunter. Malangnya kejadian rempuhan berlaku. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah kuil. Saya memohon maaf kepada semua atas kejadian ini,” katanya.
Ketua Menteri Andhra Pradesh, Chandrababu Naidu turut meluahkan rasa dukacitanya atas kejadian itu dan akan mengadakan lawatan ke kuil itu.
Perdana Menteri, Narendra Modi berkata, beliau amat sedih dengan insiden tersebut dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menawarkan bantuan yang kepada mereka yang terjejas.-AGENSI










