PYONGYANG: Korea Utara akan mula memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada rakyatnya pada November ini, lapor media kerajaan.
Pengumuman itu dibuat kira-kira sebulan selepas negara itu mengisytiharkan kemenangan melawan Covid-19.
Ini merupakan kali pertama kerajaan negara itu secara rasmi mengumumkan pelan untuk melaksanakan program vaksinasi Covid-19 sejak permulaan wabak itu.
“Selain kempen vaksinasi, kami mengesyorkan semua rakyat untuk memakai pelitup muka untuk melindungi kesihatan mereka sendiri mulai November,” kata pemimpin Kim Jong-un sepertimana dilaporkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Menurut Jong-un, beberapa pakar kesihatan di negaranya berpandangan tahap antibodi penduduk Korea Utara akan berkurangan menjelang Oktober ini.
Bagaimanapun, laporan KCNA tidak menyatakan jenis vaksin Covid-19 akan digunakan dalam kempen vaksinasi itu.
Tahun lalu, negara itu menolak bekalan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca yang diatur dibawah skim Covax kerana kebimbangan terhadap kesan sampingan, jelas sebuah badan pemikir Korea Selatan.
Sementara itu, portal NK News berpangkalan di Seoul melaporkan Pyongyang mungkin menerima beberapa bekalan vaksin daripada sekutu utamanya China. – AFP