NEW DELHI: Dua anggota polis terbunuh dan 14 lain cedera selepas sekumpulan militan menyerang sebuah bas yang membawa pasukan keselamatan di wilayah Kashmir ditadbir India.
Pihak berkuasa memaklumkan, tiga anggota militan melepaskan tembakan rambang ke arah sebuah bas berhampiran kem polis di bandar Srinagar.
Perdana Menteri India, Narendra Modi menzahirkan ucapan takziah dan memaklumkan pihaknya sedang mendapatkan maklumat mengenai serangan berlaku petang semalam.
Kawsan itu kini dikepung polis untuk membolehkan operasi pencarian dijalankan.
Menurut pegawai, serangan itu berlaku ketika anggota polis itu dalam perjalanan pulang selepas bekerja.
Kumpulan militan yang disyaki berjaya melarikan diri dalam keadaan gelap ketika pasukan keselamatan berbalas tembakan.
Anggota polis yang cedera telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Seorang penolong sub-inspektor dan konstabel meninggal dunia manakala keadaan anggota polis lain yang cedera dilaporkan stabil,” jelasnya. – AGENSI










