TOKYO: Empat juruelektrik yang terlibat dalam kerja penyelenggaraan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Seorang jurucakap dari Polis Metropolitan Tokyo mengesahkan perkara tersebut.
Menurut penganjur Sukan Olimpik Tokyo, pihaknya dimaklumkan berhubung penahanan individu tersebut kerana dipercayai melanggar Undang-Undang Kawalan Narkotik dan Psikotropik.
Jelasnya, empat individu tersebut merupakan pekerja sebuah syarikat kontrak yang membekalkan tenaga elektrik sementara ketika operasi Sukan Olimpik Tokyo.
Polis Tokyo mengesahkan mereka menahan dua warga Amerika Syarikat (AS) dan dua warga Britain pada awal bulan ini atas tuduhan mengambil kokain yang melanggar undang-undang negara itu.
Polis bagaimanapun tidak menyatakan tarikh penahanan itu dilakukan.
Penyiar awam, NHK melaporkan ketika kejadian, empat pekerja sedang minum di sebuah bar di daerah Roppongi, Tokyo pada awal bulan ini.
Jelas NHK, salah seorang individu didakwa memecah masuk sebuah apartmen selepas meninggalkan bar sehingga menyebabkan polis menyiasat dan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek tersebut.
“Sekiranya tuduhan itu terbukti benar, maka pihak penganjur akan mengeluarkan amaran tegas kepada syarikat tersebut.
“Kami juga akan menasihatkan syarikat itu mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan kejadian seperti ini tidak berulang,” jelas penganjur menerusi kenyataan. – AGENSI










